Sunday, August 14, 2011

YESUS MENGINGINKAN AGAR DIRIKU BERHASIL

Saya percaya Yesus menginginkan supaya diriku berhasil. Semakin aku merenung kasih dan rancangan-Nya untuk hidupku, aku semakin diyakinkan bahawa Yesus mahu memberkati aku. Suatu kegembiraan bagi-Nya untuk melihat diri ini diberkati dalam semua aspek kehidupan. Aku sepatutnya tidak menghadkan berkat-Nya terjadi dalam diriku.  Aku tahu berkat-Nya tidak terbatas pada aspek material sahaja. Yesus mahu aku mengalami berkat secara meyeluruh dalam diriku. Dia ingin melihat keluargaku, isteriku, kerjayaku, kepuasan dalam kehidupan, kehidupan perkahwinanku, pelayananku, anak-anakku, dan pasti banyak lagi. Semua itu penting bagiku! Itupun penting bagi Yesus.
Bila berbicara tentang keinginan, harapan dan impianku, setiap perincian, setiap saat, setiap isu, diperhatikan oleh Yesus. Aku sangat percaya, jika semua itu penting bagiku, hal itu juga diperhatikan oleh Yesus. Seandainya aku datang kepada Yesus dalam doa dan memohon agar satu titik hitam jerawat dihidungku dilenyapkan, Dia tidak memandang aku dengan ejekan atau memarahi diriku. Dia tidak berkata, “Sulimon, apakah kau tidak tahukah bahawa saya sedang mengurus seluruh alam semesta? Datanglah kepada saya hanya apabila kau ada keperluan yang besar” Aku sangat yakin Yesus tidak melayan diriku seperti itu. Yesus tidak akan mempermalukan aku atau mengabaikan permintaanku. Dia tidak seperti sebahagian daripada mereka yang menyebut dirinya “kawan”  tetapi secara diam-diam memperli kekurangan diriku. Sekecil manapun sesuatu perkara, jika ia menyangkut kesejahteraanku, Yesus juga memperhatikannya.  
Aku tahu diriku sangat berharga di mata Yesus. Aku juga sangat yakin bahawa Yesus mengetahui setiap rincian dalam diriku namun Dia juga sanggup menerima aku tanpa syarat. Saya benar-benar sedar bahawa jika bergantung semata-mata kepada kebaikan diriku, akupun tidak layak menerima berkat dan kebaikan Yesus untuk diriku. Hanya kerana rahmat dan anugerahNya, Yesus melihat aku sempurna. Ketika aku berhadapan dengan cabaran hidup, seperti kekurangan dalam banyak aspek, ketagihan, kekuatiran, penyakit, atau perhubungan yang bermasalah, maka kasih karunia Yesus menutupi semuanya dan melindungi diri ini dari menjadi mangsa terhadap semua cabaran itu. Dia melindungi aku, Dia membawa kesembuhan dan pemulihan. Dia memimpin diriku ke jalan kemenangan untuk kemuliaanNya.

Doaku hari ini.
Tuhan Yesus, terima kasih kerana mengasihi diriku dan meninginkan agar aku berjaya dan berhasil dalam setiap aspek kehidupanku. Aku menyerahkan setiap bentuk kebimbangan yang wujud di hatiku ke dalam tangan-Mu. Terima kasih di atas kasih karuniaMu yang memberikan aku hikmat dan kekuatan untuk mengatasi setiap bentuk masalah dan menjalani kehidupan yang penuh berkemenangan pada hari ini. I love You Jesus! Amin!.

No comments: